EUR/USD: Rizab Persekutuan Enggan Bersifat Dovish. Pihak ECB Juga Sama.
- Minggu lalu boleh dibahagikan kepada dua bahagian: sebelum dan selepas mesyuarat FOMC (Federal Open Market Committee) Rizab Persekutuan AS. Data kadar inflasi di AS yang dikeluarkan sehari sebelum berlangsungnya mesyuarat itu pada hari Selasa, 13 Disember telah memberi kesan yang mengejutkan. Kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) dengan unjuran sebanyak 7.3% susut pada bulan November, daripada 7.7% kepada 7.1% (tahun/tahun), mencecah kadar terendahnya dalam masa hampir setahun, manakala kadar inflasi teras pula turun daripada 6.3% kepada 6.0%. Oleh itu, disebabkan segalanya dilihat bertambah baik, pasaran berpendapat inilah masanya untuk pihak Rizab Persekutuan mengubah pendirian mereka daripada hawkish menjadi dovish. Atau setidak-tidaknya melonggarkan polisi mereka dengan ketara. Berdasarkan kepada jangkaan pasaran ini, hasil bon 10 tahun Perbendaharaan susut daripada 3.60% kepada 3.43%, manakala kadar Indeks Dolar DXY memuncak dan kemudiannya turun ke paras paling rendah sejak enam bulan lalu, daripada 105.07 kepada 103.60 mata. Maka yang demikian, kadar indeks saham (S&P500, Dow Jones dan Nasdaq) bertambah, dan kadar EUR/USD naik kepada 1.0672.
Pertambahan selera risiko pasaran serta kegembiraan pesaing dolar itu tidak berpanjangan. Pihak FOMC telah menaikkan kadar faedah utama mereka sebanyak 50 mata asas (bp) menjadikannya 4.5% pada mesyuarat itu. Kenaikan ini memang benar-benar telah dijangka peserta pasaran. Kejutan pada sidang akhbar selepas itu yang menunjukkan bahawa Bank Persekutuan AS masih lagi bersikap hawkish juga telah dijangka. Ketua Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell sedar bahawa penggubal dasar berkenaan akan terus menaikkan kadar faedahnya sehinggalah mereka benar-benar pasti bahawa trend penurunan kadar inflasi itu adalah mampan. Kadar asasnya boleh dinaikkan sehingga 5.1% pada tahun 2023 dan kekal tinggi sehinggalah tahun 2024. (Jika diingat 4.6% adalah kadar paling tinggi yang disebutkan dalam sidang akhbar bulan September). Menurut Jerome Powell, pihak Rizab Persekutuan sedar bahawa hal ini akan mencetuskan kegawatan ekonomi, namun mereka sanggup berhadapan dengannya bagi mengawal kadar inflasi. Kenyataan seperti itu mengubah sepenuhnya keadaan 180 darjah: kadar DXY naik, kadar indeks saham jatuh, dan kedudukan EUR/USD susut lebih daripada 140 mata.
Mesyuarat terakhir Bank Negara Kesatuan Eropah untuk tahun ini juga telah berlangsung pada minggu lalu, pada hari Khamis, 15 Disember. Seperti Rizab Persekutuan, pihak ECB juga menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 50 bp: naik kepada 2.5% seperti yang telah diunjur. Seperti rakan sejawatnya, Presiden ECB iaitu Christine Lagarde menunjukkan pendirian hawkish pada sidang akhbar dan menyatakan dengan jelas bahawa pengetatan kuantitatif (QT) di Eurozone tidak akan berakhir di situ: kadar faedah euro akan berhadapan dengan beberapa lagi kenaikan pada tahun 2023. Pihak ECB juga merancang untuk mula mengurangkan penyata imbang mereka daripada bulan Mac. Buat masa ini, perbezaan kadar antara dolar dan euro adalah sebanyak 200 bp (masing-masing adalah 4.5% dan 2.5%). Pasaran swap menjangkakan penggubal dasar Kesatuan Eropah itu mungkin akan menaikkan kadarnya 100 bp lagi pada tahun depan, kenaikan yang dapat memberi sokongan kepada EUR/USD. Baca ulasan kami yang akan datang bagi mengetahui unjuran pihak institusi kewangan terkenal mengenai sebut harganya.
Data aktiviti perniagaan dalam sektor pembuatan (PMI) di Jerman dan juga di Eurozone, serta kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) Eropah untuk bulan November telah dikeluarkan pada hari terakhir minggu lalu, hari Jumaat, 16 Disember. Data untuk kadar inflasi pengguna tidak memberi impak yang besar terhadap sentimen pasaran: kadar CPI tahunan turun daripada 10.6% kepada 10.1%, namun sebaliknya kadar itu lebih tinggi daripada 10.0% yang diunjur. Setelah statistik-statistik makro itu diketahui, pasangan ini mengakhiri minggu pada paras 1.0590.
40% penganalisis menjangkakan mata wang euro akan mengukuh pada minggu hadapan dan pasangan EUR/USD akan mengalami pertumbuhan, 50% lagi menjangkakan Santa Claus akan datang membantu mata wang AS. Baki 10% lagi penganalisis tidak bersetuju dengan kedua-dua jangkaan. Gambarannya adalah berbeza dalam kalangan pengayun pada D1. Bagi pengayun, 75% adalah berwarna hijau, 10% berwarna kelabu neutral, manakala 15% lagi menyerlah dengan warna merah. Indikator trend juga lebih memihak kepada warna hijau, 80% daripadanya berbanding 20% warna merah. Sokongan terdekat untuk EUR/USD berada pada paras 1.0560, diikuti dengan paras dan zon 1.0500, 1.0440, 1.0375-1.0400, 1.0280-1.0315, 1.0220-1.0255, 1.0130, 1.0070, dan zon pariti antara 0.9950-1.0010 selepas itu. Bull akan berdepan rintangan pada paras 1.0620, 1.0675-1.0700, 1.0740-1.0775, 1.0865, 1.0935.
Peristiwa untuk kalendar minggu hadapan termasuklah data kadar KDNK Q3 di AS yang akan dikeluarkan pada hari Khamis, 22 Disember, dan data pesanan barangan modal dan tahan lama serta kadar Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi di AS yang akan diketahui pada hari Jumaat, 23 Disember.
Perhatian! Cuti Hari Krismas dan Tahun Baru untuk tahun ini jatuh pada hujung minggu; namun, kami menggesa supaya anda membaca jadual dagangan yang dikeluarkan bagi tempoh itu yang boleh didapati di laman web NordFX pada bahagian Buletin Syarikat.
GBP/USD: Pasaran Tidak Lagi Mempercayai Bank of England
- Lebih banyak kekecewaan yang menanti bull pound British berbanding EUR/USD. Setelah mencecah paras tertinggi sepanjang enam bulan iaitu 1.2450 pada 14 Disember, kedudukan GBP/USD jatuh ke paras 1.2119 dan mengakhiri sesi mingguan pada paras 1.2160.
Terdapat agak banyak statistik berkenaan ekonomi di United Kingdom yang dikeluarkan minggu lalu, dan hasilnya dilihat agak pelbagai: ada yang hijau, ada kalanya merah. Kadar KDNK negara tersebut tumbuh sebanyak 0.5% dan lebih tinggi berbanding unjuran iaitu 0.4%. Sektor pembuatan juga mengalami pertumbuhan sebanyak 0.7% setelah menunjukkan dinamik sifar untuk bulan September. Indikator penting bagi inflasi seperti kadar CPI adalah 10.7% untuk bulan November (kadarnya adalah yang tertinggi sejak November 1981 sebulan lalu - 11.1%). Namun kadar jualan runcit susut sebanyak 0.4% pada bulan November berbanding 0.9% pada bulan Oktober. Kadar pengangguran naik daripada 3.6% kepada 3.7%. Kadar indeks aktiviti perniagaan (PMI) dalam sektor pembuatan di UK susut kepada 44.7 untuk bulan Disember berbanding 46.5 pada bulan November. Namun sebaliknya, dalam sektor perkhidmatan, kadarnya naik kepada 50.0 berbanding 48.8 untuk bulan November dan 48.5 yang diunjur.
Statistik dengan pelbagai arah itu dilihat sangat mengelirukan peserta pasaran, dan fokus mereka bukan pada pound, tetapi terhadap dolar AS. Namun Bank of England (BoE) juga telah memberikan keputusan mereka mengenai kadar faedah pada minggu lalu. Seperti Rizab Persekutuan dan juga ECB, penggubal dasar itu telah menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 50 bp menjadikan kadar barunya 3.5% (tertinggi dalam masa 14 tahun). Walau bagaimanapun, kenyataan BoE rupa-rupanya adalah lebih dovish jika dibandingkan dengan dua lagi rakan sejawatnya. Menurut penggubal dasar itu, kadar inflasi mungkin sudah tiba di kemuncaknya. Dua daripada sembilan orang ahli Jawatankuasa Polisi Kewangan menganggap kadar faedah sedia ada sekarang sudah terlalu tinggi dan sudah tiba masanya untuk mengurangkan tekanan harga.
Sebelum penggubal dasar itu bermesyuarat, kenaikan maksimum kadar yang dijangka oleh sebut harga adalah sehingga 4.6%. Setelah mesyuarat berakhir, pasaran swap menurunkan unjuran mereka kepada 4.5% menjelang Ogos (maksudnya, naik 100 bp lagi kesemuanya). Untuk kajian yang dijalankan oleh Bank of England, unjuran median peserta pasaran adalah lebih rendah di sini: hanya 4.25% dengan kadar tertinggi dicapai pada Mac 2023.
Unjuran seperti ini memberi lebih banyak tekanan kepada mata wang British. Justeru, menurut pakar ekonomi di Commerzbank, pound tidak memiliki banyak potensi untuk pulih. “Setelah berbulan-bulan Bank of England teragak-agak untuk bertindak, kini pasaran percaya bahawa perubahan pendirian yang sangat hawkish adalah paling tidak boleh dipercayai,” jelas mereka. “Maka, tiada peluang untuk pound bersaing dengan euro dan juga dolar.”
Untuk jangka masa pendek, unjuran median bagi GBP/USD dilihat agak neutral: 45% penganalisis memihak kepada bull, peratusan yang sama memihak kepada bear, dan baki 10% lagi enggan memberi komen mereka.
Bacaan indikator pada D1 juga dilihat bercampur-campur. Dalam kalangan pengayun, 30% berwarna hijau, 25% berwarna merah dan 45% lagi berwarna kelabu neutral. Indikator trend yang memihak kepada warna hijau memiliki nisbah sebanyak 65% berbanding 35%. Sokongan kepada pasangan ini berada di zon dan paras 1.2085-1.2115, 1.2030, 1.1940, 1.1900, 1.1800-1.1840, 1.1700-1.1720. Jika pasangan ini bergerak ke atas, ia akan berhadapan rintangan pada paras 1.2200-1.2225, 1.2270, 1.2330-1.2345, 1.2425-1.2450 dan 1.2575-1.2610, 1.2700 dan 1.2750.
Antara peristiwa yang berkait dengan ekonomi United Kingdom pada minggu ini, kami boleh tumpukan pada hari Khamis, 22 Disember apabila kadar KDNK bagi Q3 2022 negara tersebut diketahui. Kami juga ingin menumpukan pada penutupan awal dagangan di UK pada hari Jumaat, 23 Disember yang sudah semestinya disebabkan oleh Hari Krismas yang bakal tiba.
USD/JPY: Apa yang Boleh Dijangka Daripada Bank of Japan
- Seperti pasangan sebelum ini, USD/JPY memberikan reaksinya terhadap kadar inflasi di AS dan juga kenyataan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan. Namun, tidak seperti EUR/USD dan GBP/USD, pasangan ini tidak bergerak melepasi koridor mendatar yang dilaluinya sejak dua minggu lalu. Sempadannya boleh diletakkan di antara 134.25-137.85, dan cubaan lemah untuk menembusi antara sempadan atas dan bawah boleh saja diabaikan. Keseimbangan ini mungkin disebabkan oleh hakikat bahawa kedua-dua yen dan dolar adalah mata wang selamat. Sudah pasti, disebabkan oleh perbezaan kadar faedah, kelebihan besar memihak kepada dolar. Namun, setelah campur tangan tukaran asing yang telah beberapa kali diambil, pihak Bank of Japan (BoJ) bukan saja telah berjaya menghalang mata wang Amerika itu daripada naik beberapa bulan kebelakangan ini, malah ia juga menolaknya ke bawah dengan kuat.
Seperti yang sudah kami nyatakan, masa depan pasangan ini terus bergantung kepada perbezaan kadar faedah antara AS dan Jepun. Jika Rizab Persekutuan terus mengekalkan sekurang-kurangnya pendirian hawkish sederhana dan BoJ pula kekal sangat dovish, nilai dolar akan terus mendominasi yen. Melihat situasi semasa, ancaman campur tangan tukaran asing yang baru oleh Menteri Kewangan Jepun seperti yang dilakukan pada 10 November lalu dilihat tidak mungkin akan berlaku. Menaikkan kadarnya mungkin boleh membantu, namun berkemungkinan besar Bank of Japan (BoJ) akan mengekalkannya pada mesyuarat yang akan diadakan pada 20 Disember nanti: pada kadar negatif -0.1%. Perubahan radikal dalam polisi kewangan mereka dijangka hanya boleh berlaku selepas 8 April tahun hadapan. Haruhiko Kuroda, ketua Bank of Japan akan tamat perkhidmatannya pada tarikh itu, dan calon baru yang akan menggantikan beliau mungkin berpendirian lebih agresif. Namun ianya belum lagi pasti.
Harapan lain adalah kebimbangan tentang prospek ekonomi di China yang baru. Untuk makluman, People’s Bank of China juga akan membuat keputusan tentang kadar faedah yuan pada hari Selasa, 20 Disember.
Paras akhir USD/JPY adalah 136.79 pada hari Jumaat, 16 Disember. Unjuran para penganalisis untuk minggu hadapan adalah sama seperti ramalan untuk GBP/USD: 45%/45%/10%. Untuk pengayun pada D1, gambarannya adalah seperti berikut: 25% menunjukkan penurunan, 40% menunjukkan pertumbuhan, dan 35% lagi menunjukkan pergerakan mendatar. Dalam kalangan indikator trend, nisbah yang memihak warna merah adalah 60% berbanding 40%. Paras sokongan terdekat berada di zon 136.00, diikuti dengan zon dan paras 134.40, 133.60, 131.25-131.70, 129.60-130.00, 128.10-128.25, 126.35 dan 125.00. Paras dan zon rintangan pula adalah 137.50-137.70, 138.00-138.30, 139.00, 139.50-139.75, 140.60, 142.25, 143.75. Sasaran bull adalah untuk memperbaharui paras tertinggi pada 21 Oktober, 2022, dan untuk berada lebih tinggi daripada paras 152.00 dilihat realistik hanya dalam masa terdekat.
Selain daripada keputusan Bank of Japan mengenai kadar faedah mereka, kalendar peristiwa juga menandakan hari Jumaat, 23 Disember apabila laporan daripada mesyuarat Jawatankuasa Polisi Kewangan BoJ dikeluarkan. Peserta pasaran akan cuba mencari sebarang petunjuk kecil mengenai perubahan polisinya. Namun, peluang untuk mereka menemui petunjuk ini adalah hampir sifar.
MATA WANG KRIPTO: Hanya Santa Claus Menjadi Harapan
- Keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan nampaknya telah mengganggu teruk selera risiko para pelabur. Jika indeks saham (S&P500, Dow Jones, Nasdaq) mengalami pertumbuhan dan melonjak naik, membawa bersama sebut harga aset kripto ke atas pada awal-awal minggu dan setelah data kadar inflasi di AS dikeluarkan, kadar kedua-dua pasaran itu jatuh ke zon merah pada petang Rabu, 14 Disember setelah berakhirnya mesyuarat Rizab Persekutuan. Di tengah-tengah kebimbangan berlakunya kegawatan di peringkat global, kedudukannya terus jatuh pada hari Khamis dan Jumaat. Paras maksimum mingguan BTC/USD berada di kedudukan $18,381, namun paras pada hujung minggu bekerja adalah jauh lebih rendah, di zon $16,830.
Situasi umum yang berlaku dalam industri kripto juga tidak banyak membantu pertumbuhan harganya. Jika diingat, selain daripada bursa FTX yang bankrap pada bulan November, industri ini telah mengalami beberapa kejutan lain pada tahun ini. Pertama sekali, keruntuhan ekosistem Terra pada bulan Mei. Compute North, Voyager Digital, Celsius Network, Three Arrows Capital, dan Blockfi juga telah memfailkan untuk muflis. Mengikut anggaran, beberapa juta pelanggan telah kerugian berbilion dolar disebabkan perkara itu.
Kejadian yang berlaku baru-baru ini juga tidak berapa menggalakkan. Sam Bankman-Fried, pengasas bursa kripto FTX telah ditahan di Bahamas setelah Pejabat Pendakwa Raya AS memfailkan lapan dakwaan jenayah terhadapnya. Menurut wakil daripada pejabat pendakwa raya, Bankman-Fried berhadapan dengan hukuman penjara selama 115 tahun jika didapati bersalah untuk kesemua jenayah yang disabitkan. Peserta pasaran juga terkejut dengan keganjilan dalam laporan kewangan pesaing utama FTX iaitu bursa Binance. Laporan itu hanya mengandungi tiga indikator yang membingungkan dan menjadi kritikan wakil-wakil daripada komuniti perakaunan.
Hanya tinggal sedikit saja masa yang tinggal sebelum tahun ini berakhir, dan hanya Lonjakan Santa Claus, satu fenomena apabila kadar indeks saham tiba-tiba mula naik mendadak pada hujung bulan Disember yang dapat membantu dengan pertumbahan nilai bitcoin serta pasaran kripto secara keseluruhannya. Lonjakan ini biasanya mula berlaku pada hari Isnin terakhir bulan tersebut dan berterusan selama tujuh hari dagangan. Namun, kadang-kala Santa Claus mengambil keputusan untuk tidak membantu langsung aset berisiko, tetapi membantu dolar. Maka, ia akan bergerak ke bawah, dan bukannya ke atas. (Anda boleh ketahui lebih lanjut tentang Lonjakan Santa Claus di laman web NordFX pada bahagian Artikel Berguna).
Sesetengah penganalisis berharap bahawa bitcoin akan masih lagi boleh menduduki kedudukan di atas paras $18,000 dalam masa beberapa hari akan datang. Pada pendapat mereka, nilainya berkemungkinan boleh mencecah paras ekstrem $20,000 menjelang akhir tahun ini selepas itu.
Menurut penganalisis terkenal dengan gelaran Plan B, dalam situasi seperti itu, nilai mata wang kripto terunggul ini akan sekali lagi berada dalam parabola pertumbuhan. Mengikut unjuran terkini mereka, nilai BTC mampu mencecah sehingga $100,000 pada tahun 2023. Jim Wyckoff, Penganalisis Kanan di Kitco News juga percaya bahawa BTC sudah hampir untuk menghasilkan lonjakan bullish yang mampan dalam persekitaran sekarang ini kerana ramai pembeli yang sudah mula menyertai pasaran.
Arthur Hayes, bekas CEO BitMEX menyatakan pendapat yang hampir serupa, namun begitu hujah yang beliau berikan agak berlainan sedikit daripada Jim Wyckoff. Hayes percaya bahawa nilai mata wang kripto pertama itu boleh mencecah kedudukan terendahnya dalam kitaran sekarang ini kerana hampir semua “organisasi tidak bertanggungjawab” telah kehabisan coin untuk dijual. Beliau menjelaskan bahawa apabila berdepan dengan kesukaran kewangan, menjadi kebiasaan untuk syarikat-syarikat kredit berpusat membuat pinjaman dahulu dan kemudian menjual BTC yang mereka ada, dan selepas itu jatuh muflis. “Jika anda melihat pada penyata imbang mana-mana syarikat “hero” ini, anda langsung tidak akan menemui bitcoin. Mereka telah menjual kesemuanya sebelum jatuh bankrap.” Menurut Hayes, disebabkan itulah nilai mata wang kripto pertama ini jatuh terlebih dahulu sebelum berlakunya kemuflisan yang kita ketahui. Dalam masa yang sama, penganalisis itu percaya bahawa proses likuidasi berskala besar telah pun berakhir.
CEO ARK Invest iaitu Catherine Wood juga memberi kenyataan negatif mengenai syarikat-syarikat berpusat dan memberi pujian kepada DeFi. Beliau berpendapat, teknologi DeFi akan berkembang pesat kerana para pelabur menyedari betapa pentingnya rangkaian disentralisasi yang telus sepenuhnya disebabkan oleh krisis yang telah pun berlaku. “Setelah bursa kripto berpusat jatuh muflis, para pelabur yang melabur di dalam rangkaian tak berpusat dan telus sepenuhnya ini sedar dengan perkara yang bakal menimpa. Mereka berjaya mengeluarkan aset yang dimiliki tepat pada masanya. Malah mereka yang menggunakan leveraj margin yang besar juga boleh terselamat,” jelas Catherine Wood. Beliau menambah lagi dengan berkata Sam Bankman-Fried sering dilihat tidak begitu menyukai bitcoin kerana sifatnya yang telus dan tidak berpusat, maka beliau tidak boleh mengawalnya, termasuklah semasa berlakunya krisis yang berpunca daripada sifat para pelabur bursa yang sukar untuk difahami.
Menurut bekas CEO BitMEX iaitu Arthur Hayes, pasaran aset digital dijangka pulih sedikit pada tahun 2023 di tengah-tengah satu lagi lambakan wang murah oleh Rizab Persekutuan AS. Mike McGlone, pakar strategi kanan di Bloomberg Intelligence juga menjangkakan aliran likuiditi tunai yang baru oleh Bank Persekutuan, dan menyebut tahun depan sebagai tahun untuk pasaran bitcoin menyerlah setelah mengalami trend penurunan selama setahun setengah. Namun, dalam masa yang sama, penganalisis itu menambah lagi bahawa jika pelonggaran polisi kewangan tidak berlaku seperti yang dijangka, dunia mungkin akan jatuh ke dalam kegawatan ekonomi yang lebih meruncing dan memberi kesan negatif terhadap semua aset berisiko.
Max Keiser, bekas pedagang yang kini seorang pengacara TV dan pembuat filem juga percaya nilai BTC sudah pasti akan bertambah pada tahun 2023 dan mungkin akan membuat lonjakan epik sebelum penghasilannya dikurangkan pada tahun 2024. Pada pandangan beliau, pertumbuhan nilai mata wang kripto terunggul ini akan berterusan sepanjang dekad seterusnya. Seperti yang disebut oleh Cathie Wood, nilainya akan mencecah $1 juta bagi setiap coin menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, semasa ulasan ini dibuat (petang Jumaat, 16 Disember), pasangan ETH/USD didagangkan di sekitar $1,200, manakala BTC/USD pula didagangkan pada nilai $16,830. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto minggu lalu susut hampir 4.0% dengan jumlah sebanyak $0.818 trilion ($0.852 trilion seminggu sebelumnya). Kadar Indeks Fear & Greed Kripto hanya naik 3 mata dalam masa tujuh hari, daripada 26 kepada 29, dan masih kekal berada di zon Fear.
Bahagian Analisis NordFX
Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.
Kembali Kembali