Ramalan Forex dan Matawang Kripto bagi 15 - 19 November, 2021

EUR/USD: Peningkatan Kadar Inflasi Bermaksud Peningkatan Nilai USD

  • Ternyata semua statistik makroekonomi yang ada di AS adalah lebih teruk daripada jangkaan. Namun demikian, nilai mata wang Amerika terus meningkat. Bacaan indeks dolar DXY yang membandingkannya dengan kelompok enam mata wang utama lain mencecah 95.26 pada hari Jumaat, 12 November, pertumbuhan kira-kira 2% sepanjang dua minggu yang lalu. Pertumbuhan ini tidak sepatutnya berlaku. Jadi, apakah punca kepada situasi yang pelik ini? Rupa-rupanya ia disebabkan oleh lonjakan kadar inflasi.

    Menurut Jabatan Buruh, kadar indeks CPI di AS naik 6.2% pada bulan Oktober, rekod tertinggi sejak lebih daripada 30 tahun. Kadar inflasi hanya lebih tinggi pada November 1990. Berbanding bulan September, kadar pertumbuhan harga telah naik sebanyak 0.8% manakala kadar inflasi utama (tidak termasuk harga makanan dan bahan api) melonjak kepada 4.6%, dan nilai itu juga yang tertinggi dalam tempoh tiga dekad. Lebih jelas lagi, nilai tersebut bukanlah penghujungnya. Kadar inflasi di AS dijangka akan terus naik beberapa bulan akan datang kesan daripada harga rumah, utiliti, bahan api dan juga kenderaan. Kadar CPI yang menggambarkan perubahan kos hidup di negara berkenaan telah melepasi paras 5% untuk lima bulan berturut-turut. Perkara ini membuatkan kami berasa ragu-ragu dengan jaminan Pengerusi Rizab Persekutuan iaitu Jerome Powell yang mengatakan kadar inflasi yang tinggi hanyalah bersifat sementara. Walau bagaimanapun, bukan saja para pelabur berasa ragu-ragu, pihak Rizab sendiri sudah hilang keyakinan.

    Menurut teori ekonomi klasik, dalam situasi ini nilai dolar seharusnya susut dengan mendadak. Namun, pandemik COVID-19 telah mengubah situasi ini pada arah bertentangan, memaksa para penggubal dasar melaksanakan program rangsangan kewangan (QE) pada musim bunga tahun 2020, melambakkan pasaran dengan wang murah serta menurunkan kadar faedahnya.

    Kesudahannya, pihak Rizab Persekutuan dilapor akan mula menamatkan program pembelian aset berjumlah $120 bilion secara berperingkat yang akan bermula pada bulan ini. Untuk kenaikan kadar faedah pula, menurut Jerome Powell, masanya belum lagi tiba kerana pasaran buruh belum pulih sepenuhnya dan mengikut jangkaan, ia mungkin akan dinaikkan pada pertengahan tahun 2022. Pihak Rizab akan terus bersabar sehingga tibanya waktu itu.

    Walau bagaimanapun, dengan kadar inflasi yang melambung tinggi, ramai pelabur berasakan kesabaran pihak Rizab akan hilang dengan cepat dan tindakan untuk menaikkan kadar faedah sebelum musim panas tahun 2022 mungkin terpaksa diambil.

    Seorang penganalisis di pasaran derivatif Chicago Mercantile Exchange (CME) menunjukkan terdapat 64% kebarangkalian kadar faedah akan dinaikkan sebelum bulan Jun. Sebelum ini, pasaran berasa yakin pihak penggubal mungkin akan menaikkan kadar faedah sekurang-kurangnya sekali pada tahun hadapan. Kini, kebarangkalian untuk kadarnya dinaikkan dua kali telah bertambah daripada 63% kepada 80%, tiga kali kenaikan - daripada 29% kepada 49%. Sebilangan orang yang tidak sabar percaya bahawa Bank Pusat AS akan mengambil langkah ke arah itu bermula tahun ini.

    Semua jangkaan ini telah menyebabkan nilai dolar terus mengalami pertumbuhan. Sokongan yang lebih kukuh lagi telah diperoleh dari lonjakan hasil bon kerajaan AS. Inflasi yang tinggi telah mengurangkan kuasa membeli kupon yang telah mereka bayar, dan hanya terdapat sebilangan kecil saja yang sanggup melabur dalam sekuriti, dan hanya satu pertiga daripada hasilnya diguna untuk menampung kadar inflasi.

    Untuk data pasaran buruh di AS yang dikeluarkan pada 9 November, pasaran yang terkejut dengan kenaikan kadar inflasi secara praktikalnya tidak langsung mempedulikannya. Namun data itu juga rupa-rupanya adalah lebih teruk daripada jangkaan. Jumlah tuntutan berulang bagi faedah pengangguran dijangka akan turun sebanyak 50K, namun jumlah itu sebenarnya naik sebanyak 59K.

    Pertumbuhan nilai dolar telah menolak pasangan EUR/USD ke paras terendah pada Julai 2020. Ia turun ke paras 1.1432 pada hari Jumaat, 12 November dan mengakhiri minggu pada paras 1.1466. Nilai mata wang Amerika itu telah bertambah hampir 900 mata berbanding euro sejak awal tahun ini. Jika situasi seperti ini terus berlaku, pertumbuhan nilainya tidak akan terhenti di situ.

    Indikator pada D1 menunjukkan penurunan, mengesahkan jangkaan itu. Ini adalah 100% daripada indikator trend. Perkara yang sama juga boleh dikaitkan dengan pengayun, walaupun suku daripadanya telah berada di zon lebihan jualan.

    Apabila menjangkakan berlakunya pembetulan, 40% penganalisis memilih pertumbuhan pasangan ini. 60% lagi memilih penyusutan berterusan. Sokongan paling hampir berada pada paras 1.1435, kemudian 1.1350 dan 1.1250. Rintangan berada pada paras 1.1525, 1.1575, 1.1615, 1.1665, 1.1715.

    Untuk statistik makroekonomi pada minggu depan, data awal KDNK di Eurozone bagi Q3 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 16 November. Data jualan runcit di Amerika Syarikat akan diketahui pada hari yang sama, data tersebut penting untuk menilai kesan inflasi terhadap pasaran pengguna di negara berkenaan. Minggu bekerja seterusnya akan diakhiri dengan ucapan Presiden ECB iaitu Christine Lagarde pada hari Jumaat, 19 November.

GBP/USD: Satu Lagi Kejayaan Untuk Dolar

  • Didorong oleh kadar inflasi di AS, mata wang dolar terus memberi tekanan kepada mata wang British, dan hasilnya, kedudukan pasangan GBP/USD terus jatuh untuk enam bulan berturut-turut. Ia memperbaharui paras terendahnya pada minggu lalu dan berada di zon sokongan/rintangan jangka panjang yang kerap didudukinya sejak 2016. Pada kali ini paras terendah mingguannya adalah 1.3352, manakala kedudukan terakhirnya adalah 1.3421.

    Statistik makro yang dikeluarkan pada hari Khamis; 11 November juga tidak banyak membantu pound. Kadar KDNK untuk Q3 nampaknya adalah lebih tinggi berbanding jangkaan, tetapi kelembapan kadar pertumbuhan ekonomi di UK adalah melebihi 3.5 kali ganda, jatuh daripada 23.6% kepada 6.6%, manakala kadar pertumbuhan industrinya turun daripada 4.0% kepada 2.9% (berbanding 3.4% yang diunjurkan). Kelembapan mendadak seperti itu, lebih ketara terutama sekali jika dibandingkan dengan indikator serupa yang lebih baik di Eurozone dan juga Amerika Syarikat amat mengecewakan para pelabur, malah menimbulkan perasaan takut dikalangan mereka.

    Ancaman terhadap kemelesetan ekonomi dan stagflasi, dicampur dengan pertumbuhan kadar KDNK yang lemah serta kadar inflasi yang tinggi amat membahayakan ekonomi British kerana negara itu masih menerima tekanan kesan daripada Brexit. Mengikut unjuran oleh penganalisis di Bank of England, kadar inflasi tahunan akan melonjak sehingga 5% menjelang April 2022 dan akan turun kepada 2% iaitu kadar sasaran selewat-lewatnya hujung tahun 2022.

    Kadar itu sangat tinggi, dan sebelum berlangsungnya mesyuarat Bank of England pada 4 November, Andrew Bailey selaku ketuanya menyatakan dengan bacaan indikator seperti itu, pihaknya mungkin perlu menaikkan kadar faedah lebih awal daripada jangkaan. Pasaran memberi reaksi yang hampir sama apabila nilai dolar mengalami pengukuhan pada minggu lalu. Pasaran percaya pihak penggubal dasar akan menaikkan kadar faedah utamanya pada bulan November dan… maklumat tersebut tidak tepat. Bank of England tidak menaikkan kadar faedah, dan paras pasangan GBP/USD terus ke bawah.

    Data pengangguran di UK akan diketahui pada hari Selasa, 16 November, diikuti dengan data CPI untuk bulan Oktober keesokan harinya. Menjadi kebiasaan, keadaan pasaran buruh dan kadar inflasi akan memberi kesan terhadap sentimen di pasaran serta dinamik pergerakan pound. Disamping itu, pendapat para penganalisis adalah hampir sama banyaknya: 35% daripada penganalisis bertaruh bear akan menemui kejayaan, 35% lagi menyokong bull, dan baki 30% lagi berpendirian neutral.

    Untuk pengayun pada D1, 85% daripadanya berwarna merah, 15% lagi menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan. 100% indikator trend adalah berwarna merah. Sokongan berada pada paras 1.3350, 1.3200, sasaran bear adalah 1.3135. Rintangan dan sasaran bull pula berada pada paras 1.3510, 1.3570, 1.3610, 1.3735, 1.3835.

USD/JPY: Kejayaan Bon Perbendaharaan

  • Memberi ramalan mereka pada minggu lalu, kebanyakan penganalisis menjangkakan pasangan USD/JPY akan kembali berada di sempadan atas saluran 113.40-114.40. Pada mulanya, unjuran ini dilihat tidak mungkin akan berlaku: pasangan ini meneruskan pergerakan pembetulannya ke bawah, mencecah paras 112.70. Walau bagaimanapun, ia mengubah arah pergerakannya dan naik ke paras 114.30, mengesahkan jangkaan para penganalisis. Paras terakhir mingguan lalu adalah 113.90.

    Punca kepada perubahan arah pergerakan itu adalah kesan daripada pengukuhan nilai dolar akibat “inflasi”, dan pastinya, peningkatan mendadak hasil bon Perbendaharaan AS yang sudah lama berkait rapat dengan pasangan USD/JPY. Dalam kata lain, korelasi kebergantungan secara terus.

    Disebabkan oleh polisi kewangan Bank of Japan yang longgar dan juga pertambahan kawalan terhadap lengkung hasil, penyusutan nilai yen serta pertumbuhan pasangan ini berkemungkinan akan terus berlaku. Sudah pastinya, keputusan pihak Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah mereka juga turut memberi kesan kepada dinamik ini.

    Sebilangan penganalisis menganggap lonjakan pasangan USD/JPY ke paras 114.00 sebagai permulaan semula trend bullish yang sudah ada sejak Januari 2021. Walaupun begitu, carta dengan selang masa antara 10 Mac dan 27 September menunjukkan pergerakan mendatar boleh terus berlaku jika tidak wujud sebarang dorongan yang kuat. Tidak seperti euro dan pound, yen adalah mata wang selamat, justeru ia mampu bertahan daripada ketidaktentuan berpanjangan yang berlaku di pasaran.

    55% daripada penganalisis menjangkakan buat masa sekarang pasangan ini akan terus bergerak ke atas, menembusi sempadan atas saluran 114.40, naik ke paras di antara 115.00-116.00 dan memperbaharui paras tertinggi dalam sejarahnya. Pendapat berbeza diberikan oleh 35% lagi penganalisis, manakala baki 10% pula menjangkakan pasangan USD/JPY akan terus kekal berada di saluran mendatar antara 113.40-114.40 untuk sementara waktu.

    Bagi pengayun pada D1, 80% menunjukkan pertumbuhan. 10% menunjukkan penurunan, dan 10% lagi menunjukkan warna kelabu neutral. Dalam kalangan indikator trend, 100% daripada mereka berwarna hijau. Rintangan berada pada paras 114.40, 114.70 dan 115.50, sasaran jangka panjang bull adalah paras tertinggi pada Disember 2016 iaitu 118.65. Sokongan paling hampir berada pada paras 113.40, kemudian 113.40, 112.70, 112.00 dan akhir sekali 111.65.

    Hari Isnin, 15 November pada minggu hadapan perlu diberi perhatian. Data KDNK di Jepun untuk Q3 akan dikeluarkan pada hari tersebut, dan menurut unjuran, indikator utama ini akan turun nilainya daripada + 0.5% kepada -0.2%.

MATA WANG KRIPTO: Paras Manakah Bitcoin Akan Naik dan Turun?

  • Bitcoin memperbaharui rekod kedudukan tertingginya pada hari Rabu, 10 November, mencecah paras $68,917. Ethereum juga mencatatkan rekod baru, naik ke paras $4,856. Jumlah keseluruhan modal pasaran kripto mencecah $2.972 trilion ketika nilainya berada pada paras maksimum.

    Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto naik daripada 73 kepada 84, memasuki zon Extreme Greed, menunjukkan belian mata wang kripto utama itu terlebih banyak, dan proses pembetulan diperlukan. Itulah yang berlaku seterusnya: setelah mencatatkan rekod baru, pasangan BTC/USD mengubah arah pergerakannya dan kembali semula ke zon di antara $63,000-64,000.

    Berkenaan dengan bitcoin, sentimen dalam kalangan para pelabur adalah “tersangat bullish”. Perkara ini dilaporkan oleh sumber analisis Santiment dengan merujuk kepada indikator luar rantaian BTC. Namun situasi ini tidak begitu jela dalam kalangan “jerung bitcoin”. Dari suatu sudut, jumlah volum coin pada alamat dengan baki antara 100-10,000 BTC telah menurun kira-kira 60,000 BTC sejak 10 hari lalu. Sebaliknya, volumnya naik mendadak dalam kalangan alamat dengan baki melebihi 10,000 BTC. Menurut para penganalisis, hal ini menunjukkan mungkin para jerung membeli coin daripada pelabur kecil bagi melindungi nilai bitcoin daripada turun mendadak.

    Pembetulan yang berlaku pada 10 November hanya kira-kira 8.5%. “Hanya”, kerana nilai itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kadar turun naik bitcoin yang biasa. Situasi yang berlaku sekarang ini boleh ditakrifkan sebagai “keyakinan tidak rasional” terhadap coin oleh para pelabur, dan perkara ini boleh mengakibatkan pembetulan harga yang lebih besar kelak.

    Para penganalisis di bursa kripto Kraken bersetuju dengan jangkaan itu. Ulasan yang mereka keluarkan maklum dengan November sebagai bulan paling tidak menentu dalam sejarah, menyebabkan perolehan bulanan tertinggi dapat dicapai. Namun, jika kenaikan nilai bitcoin sekarang ini terhenti pada paras rintangan yang kuat di sekitar $70,000, pembetulan sehingga 20% dijangka akan berlaku, ini bermaksud pasangan BTC/USD boleh jatuh ke kedudukan $55,000.

    Penganalisis mata wang kripto Altsoin Sherpa menyebut nilai yang sama. “Penurunan jangka pendek ke paras $55,000 mungkin berlaku,” jelas beliau. “Namun saya tidak peduli dengan pergerakan kecil seperti itu. Saya akan terus mengumpul BTC, dan jika nilainya mula naik, ia akan naik dengan cepat."

    Seorang lagi penganalisis terkenal, Willie Woo membuat kesimpulan bahawa zon di antara $50,000 dan $60,000 adalah lebih dipercayai untuk menjadi paras sokongan. Jumlah keseluruhan modal pasaran bitcoin telah berjaya mencapai $1 trilion, agak sukar untuk menerima jumlahnya berada di bawah zon itu, jelas beliau, merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh syarikat analisis Glassnode.

    Bitcoin sebagai alat perlindungan daripada inflasi, serta kenaikan harga pengguna tertinggi dalam sejarah di AS yang berlaku sekarang menjadi alasan kukuh yang memberi kelebihan pada mata wang kripto terunggul itu. Walaupun dengan penamatan program QE serta kadar faedah yang dijangka akan dinaikkan, tanda-tanda nilai dolar yang akan susut mendadak telah menakutkan para pelabur, memaksa mereka melabur dalam aset alternatif seperti saham dan juga mata wang kripto. Disebabkan itu, BTC dan juga indeks saham berkali-kali merekodkan kadar tertinggi dalam sejarahnya. Bitcoin diramal akan berada di zon hijau sehinggalah pihak Rizab Persekutuan AS beralih kepada pengetatan meluas dalam polisi kewangan mereka.

    Paras tertinggi bitcoin dalam kitaran semasa bull sekarang mungkin adalah $96,000. Kesimpulan ini dicapai oleh para penganalisis di bursa kripto Kraken. Mengikut kaji selidik mereka, dinamik yang dimilikinya dalam Q4 sekarang ini amat menyamai dengan dinamik Q4 pada tahun 2017 (korelasi 0.88), memberikan hasil sebanyak +220%. Umumnya, penganalisis di bursa mata wang kripto itu menjangkakan nilai BTC akan mencecah paras di sekitar $300,000.

    Penganalisis kripto terkenal yang dikenali sebagai PlanB berkata nilai bitcoin mungkin akan naik 700% pada awal 2022. “Jika dilihat pada isyarat di sepanjang rantaian sekarang ini, saya berani berkata nilainya akan berada di kemuncak mungkin 6 bulan lagi, iaitu pada hujung Q1 tahun hadapan. - fikir beliau. - Saya percaya nilai BTC akan berada pada paras $100,000 menjelang akhir tahun ini, dan kemudian, mungkin, mata wang berkenaan akan terus mengalami pertumbuhan mengikut model X (S2FX) dan mencecah kedudukan $288,000, atau mungkin lebih tinggi lagi. Saya tidak akan terkejut jika nilainya naik ke paras $400,000 - 500,000 masing-masing pada Q1 dan Q2 tahun hadapan."

    Tidak seperti kebanyakan mereka yang optimis, ahli strategi kripto iaitu Benjamin Cowen sebaliknya percaya nilai bitcoin tidak akan menggembirakan para peminatnya dengan pertumbuhan mendadak. “Kita mula dengan kira-kira $28,000 hingga $29,000 dan itu adalah nilai pada awal tahun 2021,” jelas Cowen. “Apa yang dapat kita lihat setakat ini? Tidak banyak, bukan? Dapatkah nilainya itu menunjukkan hasil yang lebih baik menjelang akhir tahun ini? Mungkin, tapi saya tidak pasti tahun 2021 akan menjadi tahun kenaikan parabolik bitcoin."

    Walaupun beza antara paras tertinggi dan terendah dalam julat tahunannya agak ketara, Cowen sedar pemilik bitcoin tidak akan begitu teruja dengan pulangan seperti itu: “Lihat apa yang berlaku pada bitcoin dalam tahun 2021: tiada apa yang hebat. Kadar keuntungannya adalah kira-kira 130%, dan saya pasti kebanyakan pemilik tidak akan berganjak jika keuntungan yang mereka terima hanya 130%.” “Paras mata wang kripto ini telah kembali ke kemuncaknya, jadi mungkin akan berlakunya euforia seperti yang pernah terjadi antara bulan Januari dan Mac 2021,” penganalisis itu meneruskan penjelasannya. - Penurunan mendadak mungkin akan berlaku, namun data menunjukkan kitaran menaik yang ada sekarang sepatutnya akan berterusan sekurang-kurangnya sepanjang tahun 2022. Lihat semula tahun 2021, saya merasakan tahun ini kebanyakan masanya adalah tahun untuk pengumpulan semula aset bagi tempoh jangka panjang.”

    Ethereum, pesaing utama bitcoin juga menunjukkan kadar keuntungan yang tinggi, mengalami pertumbuhan 6.7 kali lebih tinggi pada tahun 2021. Tahun ini masih belum berakhir. Rahul Rai, pengurus dana mata wang kripto di BlockTower Capital percaya bahawa sifat blockchain ethereum yang serba boleh akan menjadi faktor utama bagi menarik minat para pembangun dan juga pelabur. Beliau yakin jika ethereum berjaya memulakan semula sistem kewangan global, pasarannya adalah lebih luas pada masa hadapan jika dibandingkan dengan bitcoin. Jutawan kripto itu menjangkakan ia mungkin akan berlaku seawal pertengahan tahun 2022. ETH akan menjadi mata wang kripto pertama yang mampu untuk mencecah nilai trilion dolar dari segi jumlah modal pasaran.

    Penganalisis di bank pelaburan Amerika iaitu JPMorgan juga mengeluarkan kenyataan yang sama pada bulan April. Mereka berpendapat, bitcoin adalah komoditi pengguna. Ia boleh bersaing dengan logam berharga dan dilihat sebagai aset menyimpan nilai, tetapi faktor itu akan memberi kelebihan kepada ethereum dalam jangka panjang untuk menjadi peneraju ekonomi mata wang kripto.

    Sebelum mengakhiri ulasan, Stanley Druckenmiller, seorang hartawan, pengasas Duquesne Capital dan antara pengurus dana paling berjaya di Wall Street memberikan amarannya. Nilai mana-mana aset boleh jatuh pada bila-bila masa, beliau memberi amaran. Menurut ahli kewangan tersebut, “mata wang kripto, saham meme, bahan kesenian, wain, sekuriti … Semuanya ada gelembung masing-masing, setiap aset di planet ini ada gelembungnya.” Seperti yang anda tahu, gelembung biasanya akan pecah.

    “Setiap yang berlaku di dunia serba sedikit akan mempengaruhi nilai sekuriti,“ jelas Druckenmiller. “Saya melihat dunia seperti hari ini, kemudian saya cuba bayangkan apa yang bakal terjadi 18 bulan selepas itu jika berlakunya perubahan seismik. Jika ia benar-benar berlaku, sekuriti manakah yang lebih bernilai pada waktu itu berbanding sekarang? Saya rasa ramai pelabur yang hidup hanya pada masa sekarang. Ia mungkin berguna untuk jangka masa pendek, tetapi menjadi bencana untuk jangka masa panjang.”

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.

Kembali Kembali
Laman web ini menggunakan kuki. Ketahui lebih lanjut tentang Dasar Kuki kami.